Pengertian Rejab

Masyarakat jahiliyyah menamakan bulan
ini dengan bulan Rejab mereka memuliakan dan menghormati bulan ini
dengan mengharamkan pertumpahan darah di bulan Rejab. Bagi umat Islam,
kita memperingati dan memuliakan Rejab sempena dengan peristiwa besar
yang berlaku kepada Rasulullah s.a.w iaitu peristiwa Isra’ dan Mi’raj.
Antara peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam bulan Rejab ialah :
1. Hijrah Pertama
Hijrah ke Habsyah (Ethiopia) berlaku
kerana pihak musyrikin Mekah meningkatkan tekanan dan ancaman kepada
Rasulullah s.a.w dan mereka yang beriman kepada Rasulullah s.a.w pada
ketika itu. Ada di kalangan sahabat yang mengadu kepada Rasulullah s.a.w
tentang derita yang mereka tanggung lalu Rasulullah s.a.w memerintahkan
agar mereka berhijrah ke negeri Habsyah.
Tujuan hijrah ini adalah untuk
menyelamatkan iman dan keselamatan diri di samping untuk mencari tapak
baru untuk Islam bertapak dan menyusun langkah untuk agenda seterusnya.
Diantara mereka yang berhijrah ke Habsyah ialah Saidina Othman r.a dan
isterinya Ruqayyah anak Rasulullah s.a.w. Jumlah mereka adalah 14 orang
termasuk 4 orang wanita. Habsyah dipilih kerana rajanya dikenali dengan
toleransi dan sikap terbukanya.
2. Isra’ dan Mi’raj
Isra’ dan Mi’raj ertinya Rasulullah
s.a.w dijalankan dari Mekah ke Baitulmaqdis di waktu malam dan diangkat
ke langit bertemu Allah s.w.t untuk mengambil kewajipan solat 5 waktu
dari Allah s.w.t .
Dalam menentukan tarikh bila
berlakunya peristiwa ini, sebahagian ulama’ mengatakan pada 27
RabiulAkhir, sebahagian mengatakan pada 17 RabiulAwwal, sebahagian yang
lain mengatakan pada 29 Ramadhan, ada yang mengatakan pada 27 Rejab
dan ada juga ulama’ yang mengatakan selain daripada tanggal-tanggal yang
telah disebutkan. Adapun yang terbanyak ialah golongan yang mengatakan
pada tanggal 27 Rejab sekalipun tidak disertai dengan alasan yang kuat.
Tahun berlakunya juga terdapat perselisihan pendapat ulama’.
3.Perang Tabuk
Tabuk adalah mengambil nama sempena
nama satu tempat di Utara Semenanjung Arab di mana Rasulullah s.a.w dan
30 ribu tentera Islam berkumpul. Tidak berlaku pertempuran kerana
tentera Rom telah melarikan diri kerana takut dan gerun dengan kekuatan
dan kecekalan tentera Islam yang sanggup menghadapi pelbagai kesukaran.
4. Pembebasan Baitul-Maqdis
5. Lahirnya Imam As-Syafie r.a
Nama sebenar Imam As-Syafie r.a ialah
Muhammad bin Idris. Beliau lahir di Ghazah, Pelestin pada tahun 150H
bersamaan 767 Masehi dalam bulan Rejab. Beliau adalah salah seorang dari
empat imam mazhab yang besar dalam dunia fiqh. Malaysia mengamalkan
mazhab As-Syafie. Diantara peniggalan Imam As-Syafie r.a yang menjadi
rujukan sehingga sekarang ialah kitab Al-Umm.
Doa Bulan Rejab :
اللهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيْ رَجَبٍ وَشَعْبَانَ وَبَلِّّغْنَا رَمَضَانَ
(Allahumma baariklana fii rajabin wa sya’baana wa ballighnaa ramadhaan)
Maksudnya: “Ya Allah ya Tuhanku, berkatilah kami pada bulan Rejab dan Sya’aban dan sampaikan (Hidupkan) kami ke bulan (sehingga) Ramadhan”. (HR Baihaqi)
Khasiat dan kaifiatnya apabila membaca doa ini, sebagaimana diriwayat dari Anas r.a.: “Adalah Rasulullah sollallaahu alaihi wasallam apabila masuk bulan Rejab, baginda mengucapkan doa tersebut”. (Ruj. Al-Azkar an-Nawawiyyah).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan