Seseorang yang zahirnya muslim hendaklah dianggap kekal atas
keislamannya sehingga terbukti secara yakin bahawa telah terbatal
akidahnya. Ini atas kaedah syarak ‘Perkara yang yakin tidak boleh dihilangkan oleh syak’.
Dalam ertikata lain, syak tidak boleh menghapuskan yakin. Oleh kerana
pada keyakinan asal kita seseorang itu muslim, maka dia dianggap muslim
dan tidak boleh keislamannya dibatalkan disebabkan hanya sesuatu perkara
yang tidak pasti atau syak.
“Sesiapa yang memanggil orang lain dengan ‘kafir’ atau ‘musuh Allah’ sedang dia tidak begitu, maka tuduhan itu kembali kepadanya (penuduh)”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Namun begitu, kita juga hendaklah sedar, di sana ada batas-batas
iman dan kufur. Ini seperti sesiapa yang dengan jelas tanpa sebarang
andaian lagi menghina Allah dan RasulNya, maka dia terkeluar dari Islam.
Demikian juga jika dia menentang secara jelas tanpa sebarang andaian
lagi apa yang ditetapkan oleh Allah dengan jelasnya seperti pegharaman
arak, judi, zina dan seumpamanya. Sesiapa yang menghalalkan
perkara-perkara tersebut atau menentang pengharaman perkara-perkara
tersebut dari segi hukum agama, dalam keadaan sedar dan faham maka dia
terkeluar dari Islam.
“Sesungguhnya ucapan yang menjadikan seseorang itu kufur ialah seperti mengingkari kewajipan solat, zakat, puasa dan haji. Namun, pengucapan itu mungkin kerana khitab (ajaran yang betul dalam perkara tersebut) tidak sampai kepadanya. Jika perkara itu berlaku, dia tidak dianggap kafir. Contohnya, golongan yang baru menganut Islam dan hidup di daerah pedalaman yang jauh sehinggakan syariat Islam tidak sampai kepadanya.”(Majmu’at al-Fatawa, jil: 2, ms: 220.)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan