Sesungguhnya memang benar firman Allah SWT `Dan tidak Kami utuskan kau(Muhammad) melainkan sebagai rahmat kepada seluruh alam.
Inilah matlamat kedatangan Rasulullah s.a.w yang membawa risalah Islam untuk semua manusia. Islam bererti patuh dan tunduk kepada Allah SWT. Oleh itu Muslim bererti orang yang patuh dan tunduk kepada Allah SWT.
Islam bukan sahaja satu agama yang merangkumi aspek peribadatan semata tetapi satu cara hidup yang menyediakan peraturan dan panduan dalam segala aspek kehidupan manusia termasuk kerohanian, ekonomi, politik, sosial, kesenian, ketenteraan dan tidak terkecuali, sukan. Ini ialah kerana Islam amat peka terhadap pembangunan aspek spiritual, jasmani, intelektual dan emosi manusia agar proses transformasi yang di lakukan dalam dimensi-dimensi ini dapat melahirkan manusia bertaqwa, seimbang, berilmu, berakhlak, sihat, intelek, berdisiplin serta teguh pendirian.
Allah sebut di dalam Al-Quran `Tidak Kami Abaikan Sesuatu pun di dalam Al Kitab’(Surah Al-An’am, 38). Al-Quranlah sumber inspirasi, motivasi, ilmu pengetahuan, pengubat pelbagai penyakit fizikal, emosi dan rohani dan yang menjelaskan segala perkara yang bersangkut paut dengan perkara duniawi dan ukhrawi. Ini ialah kerana ia adalah wahyu Allah SWT Sudah tentu Pencipta manusia lebih bijaksana daripada manusia itu sendiri. Pembuat jam sudah tentu lebih mengetahui mengenai komposisi jam itu, kelemahanya dan bagaimana untuk menggerakkanya daripada orang yang memakai jam tersebut. Begitu juga Allah SWT lebih tahu mengenai apa yang baik untuk manusia daripada manusia itu sendiri kerana Dialah yang menciptakan manusia. Allah sudah menentukan hanya cara hidup Islam sahaja yang menjamin kebahagiaan manusia di dunia dan di akhirat.
Oleh kerana itulah Islam melihat proses pembinaan fizikal yang utuh seseorang Muslim itu sebagai satu kewajipan yang harus di berikan perhatian. Allah mahu hamba-hambaNya mempunyai tubuh badan yang sihat agar ia dapat melakukan tugasnya sebagai khalifatullah fil ard di muka bumi, mentaati perintahNya dan menjauhi laranganNya secara berterusan . Tugasnya termasuk seperti firman Allah SWT
`Kamulah sebaik-baik umat yangdilahirkan daripada manusia. Kamu mengajak kepada kebaikan, kamu melarang daripada kejahatan dan kamu beriman kepada Allah’.
Apabila seseorang Muslim itu sihat ia mempunyai kekuatan, kemampuan dan fikiran yang cergas untuk melaksanakan apa sahaja tugas yang di amanahkan kepada nya oleh Allah SWT serta tanggungjawab lain yang di amanahkan oleh manusia lain kepada nya samada dalam sesebuah organisasi, persatuan, kelab, rumahtangga, masyarakat atau pemerintahan. Setiap individu di anugerahkan oleh Allah SWT dengan potensi dan bakat yang tersendiri. Kita haruslah mengembangkan potensi dan bakat yang di anugerahkan kepada kita oleh Allah SWT dengan cara yang di benarkan oleh syariat Islam bukan melalui cara-cara yang bercanggah dengannya. Gunakanlah potensi dan bakat ini untuk mengajak manusia supaya kembali kepada cara hidup Islam. Ini termasuk potensi dan bakat dalam aktiviti sukan.
Sebab itu ada perpatah Arab yang berbunyi
`Akal yang sihat adalah dari badan yang sihat’
Badan yang sihat akan melahirkan minda yang sentiasa aktif untuk membuat sesuatu kebaikan dan menghilangkan rasa malas, kurang motivasi, mengurangkan penyakit dalam badan dan membawa kepada kecemerlangan dalam kehidupan seseorang Muslim samada dia seorang pelajar atau apa sahaja profesyen yang dia ceburi. Malah kualiti dalam hasil kerjanya juga akan terserlah dan akan meningkat dari masa kesemasa di sebabkan dia mempunyai tubuh badan yang sihat dan mampu memberi penumpuan dan fokus kepada kerjanya.
Sebab itulah Rasulullah bersabda `Allah lebih menyayangi orang Mu’min yang kuat dari orang Mu’min yang lemah’ Seseorang Muslim mempunyai banyak tanggungjawab yang harus di laksanakan termasuk tanggungjawab terhadap dirinya, keluarganya, ibubapanya, saudara seagamanya, jirannya, masyarakatnya dan negara. Ini sudah tentu memerlukan kesihatan tubuh badan agar dia dapat melakukan amal soleh dan kerja-kerja kebajikan dan meningkatkan kualiti kerjanya. Bagaimana boleh seorang Muslim melaksanakan ayat Quran yang berbunyi `Berlumba-lumbalah melakukan kebaikan’ (Surah Al-Maidah)sekiranya dia sentiasa menghadapi masalah kesihatan.
Malah kita di tuntut untuk membuat persediaan untuk menghadapi kekuatan musuh `Perlengkapkanlah diri kamu untuk mereka(musuh) sekadar yang terdaya dari kekuatan’(Al-Anfal: 60)
Walaubagaimanapun ini tidak bermaksud seseorang Muslim itu harus terlibat dalam sukan atau apa sahaja aktiviti jasmani sehingga lupa kepada tanggungjawab-tanggungjawab lain. Allah SWT tidak meredhai seorang Muslim yang begitu seronok bersukan sehingga dia melupai waktu solatnya. Atau seorang Muslim yang menyertai aktiviti sukan tanpa memikirkan pakaian yang sesuai dan menutup aurat sehingga auratnya terdedah kepada penglihatan orang lain dan ini adalah di haramkan oleh Islam. Islam mahu menutup `pintu-pintu kerosakan’ dan aktviti-aktiviti atau faktor-faktor yang boleh menyebabkan teransangnya nafsu syahwat lelaki kepada wanita dan sebaliknya yang bukan suami isteri adalah mengundang kepada kerosakan dan kehinaan dalam masyarakat.
Oleh kerana itulah, kita dapat lihat gejala sosial dan penyakit yang berpunca daripada hubungan bebas lelaki dan wanita semakin berleluasa kerana manusia ingkar terhadap panduan dan peraturan yang di tetapkan Allah SWT yang Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana dan mereka tunduk kepada telunjuk hawa nafsu mereka. Allah berfirman `Tidakkah kamu melihat manusia yang menjadikan hawa nafsu sebagai tuhanya? Manusia yang di ciptakan oleh Allah SWT agar tunduk dan patuh kepada Nya memilih jalan yang merosakkan dirinya dengan mematuhi kehendak nafsunya.
Oleh itu Islam amat menekankan agar peraturan dan panduan Islam di patuhi dalam semua aspek termasuk dalam aktiviti sukan yang amat di galakkan dalam Islam.
Selain daripada itu kita mahu supaya aktiviti sukan yang kita libatkan diri akan di kira sebagai ibadah dan di terima oleh Allah SWT sebagai bekalan di hari akhirat kelak apabila kita bertemu dengan Allah SWT untuk di kira segala amalan kita dan di hisan oleh Nya samada kita di masukkan kedalam syurga atau nereka. Untuk itu kita harus pastikan agar aktiviti sukan atau apa sahaja program pembangunan jasmani yang kita hadiri memenuhi syarat-syarat berikut:
- Niat kita haruslah untuk menjaga kesihatan badan agar mendapat keredahaan Allah SWT
- Aktviti itu tidak lakukan dalam suasana yang bercanggah dengan syariat Islam.
Dalam Islam `Matlamat tidak menghalalkan cara’ atau `al ghayah la tubarrirul wasilah’. Matlamat yang baik iaitu untuk menjaga kesihatan badan tidak harus di cemari dengan cara atau pendekatan yang bercanggah dengan syariat Islam. Kita tidak mahu usaha menyihatkan badan melalui aktiviti sukan tidak di kira sebagai ibadah oleh Allah SWT dan ia menjadi sia-sia sahaja. Aktiviti sukan yang membenarkan pencampuran lelaki dan wanita secara bebas boleh membawa kepada kemudaratan jiwa , akal dan emosi. Akhirnya ia boleh membawa kepada perbuatan sumbang dan merosakkan akhlak mereka yang terlibat.
Oleh itu adalah sesuai dengan syariat Islam sekiranya tempat dan waktu bersukan bagi lelaki dan wanita di asingkan agar perkara ini dapat di elakkan. Kita harus menaman dalam diri kita rasa malu . Apabila rasa malu hilang daripada diri kita maka akan musnah benteng yang dapat menghalang kita daripada melakukan perkara-perkara lain yang lebih dahsyat lagi sehingga kita bersedia untuk meruntuhkan kehormatan kita.
Rasulullah s.a.w selalu berdoa `Ya Allah, sihatkanlah tubuh badanku, sihatkanlah pendengaranku dan sihatkanlah penglihatanku’ (Allahuma a`fini fi badani, Allahuma a`fini fi sam’I, Allahuma `afini fi basori)
Kita juga di tuntut untuk berdoakan diri kita seperti ini agar Allah SWT sentiasa memberikan kesihatan kepada keseluruhan tubuh badan kita.
Almarhum Ustaz Abdullah Nasih Ulwan dalam bukunya `Pendidikan Anak-Anak Dalam Islam’ jilid satu menyebut:
`Sebab itu Islam menganjurkan kita mempelajari berenang, melimpar panah, menunggang kuda dan sebagainya. Al Bukhari meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w pernah mengelilingi para sahabatnya dalam kumpulan-kumpulan melimpar panah seraya mengalakkan mereka katanya `Limparlah kamu dan aku juga akan menyertai kamu sekalian’
Walaubagaimanapun kita harus ingat bahawa sakit dan sihat itu adalah anugerah Allah SWT dan aktiviti sukan itu hanyalah usaha manusia untuk menjaga kesihatannya. Oleh itu kita harus bersyukur kepada Allah SWT apabila kita di anugerahkan dengan kesihatan tubuh badan dan tidak merasa megah dan sombong sehingga kita lupa bahawa ini semua adalah anugerah Allah SWT kepada kita.
Dalam Al-Quran di sebut `Dan apabila aku sakit, Dia(Allah)lah yang menyembuhkan’ Oleh itu kita haruslah sentiasa memohon kepada Allah dan mengharapkan bantuan dan pertolonganNya kerana hanya Dia sahajalah yang dapat memenuhi permohonan kita. Islam menyuruh kita berusaha dengan pelbagai cara seperti berjumpa doktor, bersukan dan makanan yang baik dan halal untuk menjaga kesihatan tetapi yang menentukan segala-galanya adalah Allah SWT. Oleh itu kita harus bersyukur dan sentiasa berharap kepadaNya.
Gunakanlah waktu kita sihat dengan bijak dan tidak membuang masa dengan percakapan dan perbuatan yang tidak baik serta berusahalah untuk meningkatkan amal perbuatan yang di redhai oleh Allah sebagaimana yang di gariskan dalam Al-Quran dan Hadis Rasulullah s.a.w. Apabila kita sakit kita akan sedar betapa pentingnya waktu sihat itu di manfaatkan dengan cara yang berkesan kerana apabila kita sakit kita tidak mampu atau lemah untuk berbuat apa-apa walaupun untuk beribadah. Masa kita dalam keadaan sakit dan lemah inilah biasanya manusia akan memohon kepada Allah SWT agar dia cepat semboh supaya dia dapat melakukan perkara-perkara yang biasa di lakukan setiap hari.
Jangan kita lupa menziarahi rakan yang sakit sebagai tanda kesyukuran kita kepada Allah SWT yang memberi kita kesihatan dan kita harus mendoakan agar dia cepat sembuh. Ini juga merupakan tanggungjawab seorang Muslim kepada seorang Muslim yang lain dan merupakan strategi dakwah yang berkesan untuk menarik manusia supaya bersama-sama dalam barisan Islam. Rasulullah sendiri pernah di riwayatkan menziarahi seorang Yahudi yang sakit yang membenci baginda sehingga akhirnya orang Yahudi itu memeluk agama Islam.
Oleh itulah marilah kita bersama-sama menggerakkan aktiviti sukan untuk kekuatan dan kesihatan badan agar dapat melahirkan minda yang sihat dan cergas untuk mencapai kecemerlangan dunia dan akhirat sebagaimana yang kehendaki oleh Pencipta yang Maha Berkuasa, Maha Bijaksana dan Maha Mengetahui iaitu Allah SWT. Di waktu yang sama kita jangan lupa bahawa Allah sentiasa memperhatikan kita dan setiap perbuatan baik dan buruk yang kita lakukan akan di catit dan menerima balasan yang setimpal.
-rujukan:http://permai1.tripod.com/sukan.html
-rujukan:http://permai1.tripod.com/sukan.html
Tiada ulasan:
Catat Ulasan