" tiada paksaan dalam (menganut agama Islam), sesungguhnya telah jelas (perbezaan) antara jalan yang benar dan jalan yang sesat"
-(Al Baqarah: 256)

Ahad, 29 April 2012

'AMALAN BAIK: PENGENDALIAN HADIAH DALAM PERKHIDMATAN AWAM'


'AMALAN BAIK: PENGENDALIAN HADIAH DALAM PERKHIDMATAN AWAM'

Biro Mencegah Rasuah (BMR) dengan sokongan penuh Bahagian Keselamatan dan Penguatkuasaan, Jabatan Perdana Menteri telah menyediakan satu garis panduan pengendalian hadiah dalam Perkhidmatan Awam dalam usaha untuk menjadikan negara ini bebas dari rasuah.

Garis panduan tersebut akan diterbitkan dalam buku kecil dengan tajuk 'Amalan Baik: Pengendalian Hadiah dalam Perkhidmatan Awam' sebagai rujukan pegawai kerajaan dalam mengendalikan hadiah yang diberikan kepada mereka atau keluarga mereka.

Pemangku Pengarah BMR, Ang Swee Kiang menjelaskan, pegawai kerajaan yang diberikan hadiah perlu melalui tiga peringkat ujian, iaitu dalam ujian pertama, pegawai kerajaan yang diberikan hadiah hendaklah menilai sama ada hadiah itu diberi dengaan niat rasuah atau tidak.

Jika mempunyai niat rasuah, pegawai kerajaan berkenaan hendaklah menolak dan melaporkannya ke BMR, yang mana ujian itu merujuk kepada Bab 5(a) dan 6(a) Akta Pencegahan Rasuah (Penggal 131) yang menggariskan bahawa adalah menjadi satu kesalahan bagi sesiapa juga [5(a)] dan mana-mana ejen [6(a)] secara tidak jujur menerima suapan (pengertian 'suapan' di bawah Bab 2 Akta Pencegahan Rasuah adalah termasuk hadiah) dari sesiapa sahaja.

Ujian itu juga merujuk kepada Bab 161 Kanun Hukuman Jenayah (Penggal 22) yang menggariskan bahawa adalah menjadi kesalahan bagi pegawai kerajaan untuk menerima atau memperolehi sebarang suapan bagi melakukan atau tidak melakukan mana-mana kerja rasminya.

Manakala dalam ujian kedua, jika hadiah diberi dengan tiada niat rasuah, pegawai kerajaan tersebut hendaklah melalui ujian kedua, iaitu pegawai kerajaan yang diberikan hadiah hendaklah memastikan bahawa dia tidak ada urusan rasmi dengan pemberi hadiah.

Jika pegawai kerajaan berkenaan mempunyai urusan rasmi, maka dia hendaklah menolaknya tetapi jika tidak dapat dielak, dia boleh menerima dan hendaklah diisytiharkan kepada pihak berkuasa, yang mana ujian itu merujuk kepada Bab 165 yang menggariskan bahawa adalah menjadi kesalahan bagi pegawai kerajaan untuk menerima atau memperolehi barang-barang berharga, tanpa bayaran atau dengan bayaran bukan nilai sebenarnya, daripada sesiapa sahaja. Dalam erti kata lain pemberian itu ada kena-mengena dalam apa-apa urusan yang telah dijalankan atau yang akan dijalankan oleh pegawai itu.

Dalam ujian ketiga, jika hadiah diberi dengan tiada niat rasuah dan tiada urusan rasmi di antara pemberi dan pegawai kerajaan yang diberi hadiah, pegawai kerajaan tersebut hendaklah melalui ujian ketiga, iaitu pegawai kerajaan yang diberikan hadiah hendaklah memastikan sama ada pemberian tersebut adalah dari sahabat atau saudara-mara.

Jika bukan dari sahabat atau saudara-mara, maka dia hendaklah menolaknya tetapi jika tidak dapat dielak, dia boleh menerima dan hendaklah diisytiharkan kepada pihak berkuasa manakala jika pemberian tersebut dari sahabat atau saudara-mara, maka hadiah tersebut bolehlah diterima tanpa perlu diisytiharkan.

Ujian itu merujuk kepada Peraturan 12(a) Peraturan-peraturan Pegawai-pegawai Kerajaan (Kelakuan dan Tatatertib), Akta Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (Penggal 83) yang menyatakan bahawa pegawai-pegawai dan keluarga mereka adalah ditegah daripada menerima hadiah-hadiah (selain daripada hadiah-hadiah daripada sahabat-sahabatnya sendiri atau saudara-mara) sama ada yang berupa wang, barang-barang, tambang-tambang percuma atau faedah-faedah yang lain, dan daripada memberi hadiah-hadiah yang sedemikian.

Sehubungan dengan itu, bagi memberikan kefahaman kepada kerajaan mengenai garis panduan ini, BMR melalui Bahagian Pencegahan Rasuah akan mengadakan jerayawara di keempat-empat buah daerah dan seterusnya akan mengagih-agihkan garis panduan melalui buku kecil itu nanti.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan