" tiada paksaan dalam (menganut agama Islam), sesungguhnya telah jelas (perbezaan) antara jalan yang benar dan jalan yang sesat"
-(Al Baqarah: 256)

Khamis, 9 Ogos 2012

Saudara baru bersyukur sertai Majlis 66 Kali Khatam Al-Qur'an

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 4 Ogos. Para peserta Majlis 66 Kali Khatam Al-Qur'an Sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Yang Ke-66 bagi Tahun 2012 melahirkan perasaan gembira ketika ditemu bual oleh wakil PELITA BRUNEI pada majlis yang berlangsung di Istana Nurul Iman, Bandar Seri Begawan, di sini.

Dayang Siti Norsiah binti Muhammad Salleh, 36, seorang muallaf dan peserta beliawanis dari Daerah Belait melahirkan rasa syukur kehadrat Illahi kerana dapat menyertai Majlis Khatam tersebut buat kali pertama.


PESERTA Beliawanis dari Daerah Belait, Dayang Siti Norsiah binti Muhammad Salleh ketika ditemu bual.


Dengan perasaan sangat gembira, Dayang Siti Norsiah yang merupakan seorang guru di Sekolah Ugama Labi, Belait menjelaskan mengenai cabaran yang beliau hadapi ketika membaca Al-Qur'an pada permulaan beliau memeluk agama Islam.

Menurutnya, amat sukar baginya kerana belum mengenal huruf misalnya huruf Alif, Bad an Taa tetapi, alhamdulillah, setelah belajar di sekolah dan berpandukan daripada buku mengenai Al-Qur'an serta belajar dari kawan-kawan selain mendengar dari kaset mengaji Al-Qur'an yang dibeli, kini beliau mampu menguasai dan mempelajari bacaan ayat suci Al-Qur'an dengan baik dan lancar mengikut tajwid.<P>

Menyentuh mengenai persediaan Majlis Khatam berkenaan, beliau dengan bangga menjelaskan, telah berjaya menamatkan membaca 30 juzuk Al-Qur'an selama tiga bulan yang dibacanya sebelum majlis tersebut diadakan.

Sementara itu, seorang lagi peserta wanita dewasa yang juga seorang muallaf dari daerah berkenaan iaitu Dayang Hajah Lateefah binti Haji Abdullah, 51, juga melahirkan perasaan gembira kerana terpilih bagi menyertai Majlis 66 Kali Khatam Al-Qur'an itu.

 
BELIA dari Daerah Tutong, Dayang Hajah Lateefah binti Haji Abdullah.

Beliau yang merupakan suri rumah tangga sepenuh masa menjelaskan, cabaran membaca ayat suci Al-Qur'an pada peringkat permulaan adalah amat sukar sekali kerana beliau belum pernah belajar sewaktu di zaman persekolahannya.<P>

Atas keinginan menghalusi dan mempelajari bacaan ayat suci Al-Qur'an itu, beliau belajar dari guru-guru persatuan saudara baru dari Daerah Belait dan meneruskannya semasa bergerak aktif dalam muslimah masjid dan Majlis Perundingan Kampung (MPK) Pandan.

Melalui Ahli Muslimah Masjid dan Ahli MPK itu, beliau mendalami kaedah dan tajwid yang betul dalam membaca ayat suci Al-Qur'an.

Selain itu katanya, dalam membuat persediaan sebelum Majlis 66 Kali Khatam berlangsung, beliau telah berjaya menamatkan membaca 30 juzuk Al-Qur'an sepanjang tiga bulan yang lalu.

Di kesempatan ini, beliau ingin memanjatkan doa ke hadapan majlis baginda dan berdoa agar Kebawah DYMM dan kerabat diraja yang lain akan sentiasa di dalam perlindungan Allah Subhanahu Wata'ala.


PESERTA belia dari Daerah Tutong, Dayang Hajah Mastuyah binti Haji Abdul Ghani.


Seorang lagi peserta iaitu belia dari Daerah Tutong, Dayang Hajah Mastuyah binti Haji Abdul Ghani, 60, juga menyatakan syukur dan terharu kerana terpilih menyertai majlis tersebut dan di berikan kesempatan buat kali kedua untuk menyertai majlis yang merupakan pesambah berupa doa selaku rakyat negara ke hadapan majlis Kebawah DYMM.

Menyentuh persediaan sebelum majlis tersebut berlangsung, beliau menyatakan bahawa membaca Al-Qur'an memang menjadi amalan beliau seharian dan berjaya menamatkan bacaan 30 juzuk Al-Qur'an sebanyak dua kali.

Pada kesempatan ini juga, beliau mendoakan kesejahteraan Kebawah DYMM dan kerabat diraja yang lain agar sentiasa dilimpahi rahmat oleh Allah Subhanahu Wata'ala.

http://www.pelitabrunei.gov.bn/news/pelita/05ogos12/index.htm



Tiada ulasan:

Catat Ulasan