KULIAH URA (UNIVERSITI RAMADHAN AL-MUBARAK)
Oleh Dr. Yusof Al-Qardhawi
Apakah hikmah puasa diwajibkan berdasarkan pusingan bulan (tahun hijrah) dan bukannya pusingan matahari (tahun Masehi)?
Dr. Yusof al-Qardhawi menerangkan bahawa di antara hikmah puasa tersebut diwajibkan berdasarkan pusingan bulan:
- 1. Tahun Islam diasaskan di atas pusingan bulan. Begitu juga hukum hakam yang lain seperti haul zakat, ibadah haji, iddah seorang wanita yang diceraikan suami dan sebagainya.
- 2. Ia lebih tobi’ie dan lebih mudah untuk dikira berdasarkan kemunculan bulan dan saiznya pada waktu malam.
- 3. Ramadhan kadang-kadang akan berselisih dengan musim panas atau musim sejuk atau musim-musim yang lain. Dengan itu seorang muslim kadang-kadang akan berpuasa pada waktu sejuk dan kadang-kadang pada waktu panas terik. Kadang-kadang di waktu yang siangnya panjang dan kadang-kadang di waktu siang pendek. Ia lebih seimbang dan mengukuhkan ketaatan seorang muslim kepada Tuhan dalam setiap keadaan.Adakah puasa tetap sah jika seseorang melakukan maksiat ketika dia sedang berpuasa?
Dr. Yusof al-Qardhawi menolak pandangan Ibnu Hazm yang mengatakan bahawa maksiat akan membatalkan puasa seseorang seperti makan dan minum. Walau pun begitu beliau mengatakan bahawa maksiat yang dilakukan oleh seseorang yang berpuasa akan menghilangkan hasil yang diharapkan dari puasa tersebut.
Dengan itu yang terbaik adalah seseorang itu sentiasa berusaha untuk mencontohi puasa salafussoleh yang menjaga diri bukan sahaja dari makan dan minum tetapi sebaliknya dari perkara-perkara haram dan melalaikan.
Adakah wujud sebenarnya ‘waktu imsak’?
Dr. Yusof al-Qardhawi menyokong pandangan al-Hafiz Ibnu Hajar yang berkata:
- “Di antara bid’ah mungkar adalah apa yang dilakukan pada hari ini; iaitu dilaungkan azan sepertiga jam sebelum azan Subuh di dalam bulan Ramadhan dan dipadamkan api sebagai tanda haramnya makan dan minum bagi orang yang akan berpuasa. Mereka menyangka bahawa itu lebih berhati-hati di dalam ibadah. Tiada yang mengamalkan itu kecuali manusia-manusia awam (ulama’ tidak mengamalkannya). Cara berfikir sebegini juga telah menyebabkan mereka tidak azan kecuali setelah beberapa ketika selepas tenggelam matahari. Mereka melambatkan berbuka dan mengawalkan sahur. Dengan itu mereka melakukan amalan yang bercanggah dengan sunnah (melewatkan sahur dan menyegerakan berbuka).”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan