" tiada paksaan dalam (menganut agama Islam), sesungguhnya telah jelas (perbezaan) antara jalan yang benar dan jalan yang sesat"
-(Al Baqarah: 256)

Isnin, 3 September 2012

Beraya bersama saudara baru di Kampung Bebuloh

MUKIM PENGKALAN BATU, Ahad, 2 September.

Kemeriahan Hari Raya Aidilfitri masih terasa  walaupun sudah memasuki minggu kedua  hari ini.

Pelbagai pihak di negara ini terus menganjurkan Majlis Ramah Mesra Hari Raya Aidilfitri bagi Tahun 1433 Hijriah/ 2012 Masihi dan antara yang mengadakan sambutan seumpamanya ialah Penduduk Kampung Bebuloh dengan kerjasama Pusat Da'wah Islamiah.

Hadir selaku tetamu pada majlis yang berlangsung di Rumah Kegiatan Ugama kampung berkenaan di sini ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Dr. Haji Mohammad bin Pengiran Haji Abdul Rahman dan isteri, Datin Hajah Halimah binti Mohamad Taib.

Juga hadir ialah Setiausaha Tetap Pentadbiran dan Kewangan, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Dato Paduka Awang Sa Bali bin Abas.
Ketua Kampung Bebuloh, Awang Haji Muhd. Sa'id bin Tundak selaku Pengerusi Majlis ketika berucap di majlis tersebut berkata sambutan ini antaranya bertujuan untuk memberikan peluang beramah mesra bersama saudara-saudara baru kampung tersebut dan penduduk kampung Bebuloh.
Perkembangan penduduk Kampung Bebuloh yang memeluk agama Islam jelasnya terdiri daripada puak Dusun dan Bisaya.

Terdahulu majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al Faatihah dan doa selamat oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Awang Ilmami bin Haji Osman dan diserikan dengan persembahan tausyeh  dibawakan oleh penduduk Kampung Bebuloh di samping  persembahan deklamasi sajak dari  Awang Mohd. Saifullah bin Haji Mohd. Sofian serta persembahan lagu Hari Raya Aidilfitri dari penduduk kampung tersebut.
Menteri Hal Ehwal Ugama dan Isteri serta Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama seterusnya menyampaikan cenderahati kepada hadirin yang bertuah.

Majlis berakhir dengan ramah mesra dan penyampaian buah tangan kepada saudara baru kampung Bebuloh yang disampaikan oleh tetamu kehormat serta kunjungan ke rumah Penasihat Rumah Kegiatan Ugama Kampung Bebuloh, S/INSP (Bersara) Haji Md. Sofian bin Abdullah diikuti dengan kunjungan ke rumah kediaman Ketua Kampung Bebuloh.
Dengan adanya majlis ini akan menyatupadukan penduduk kampung serta mengeratkan lagi hubungan orang Islam dan bukan beragama Islam di kampung tersebut di suasana sambutan Hari Raya Aidilfitri yang disambut setiap tahun di negara ini.

rujukan; http://www.pelitabrunei.gov.bn/







Tiada ulasan:

Catat Ulasan