" tiada paksaan dalam (menganut agama Islam), sesungguhnya telah jelas (perbezaan) antara jalan yang benar dan jalan yang sesat"
-(Al Baqarah: 256)

Jumaat, 19 Oktober 2012

KELEBIHAN-KELEBIHAN AGAMA ISLAM


Firman Allah Taala, maksudnya: " .. dan aku telah redhakan Islam menjadi agama untuk kamu .. (3, Al-Maidah).
Hadis Kesepuluh
 عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ أَنَّهُ سَمِعَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ إِذَا أَسْلَمَ الْعَبْدُ فَحَسُنَ إِسْلَامُهُ يُكَفِّرُ اللَّهُ عَنْهُ كُلَّ سَيِّئَةٍ كَانَ زَلَفَهَا وَكَانَ بَعْدَ ذَلِكَ الْقِصَاصُ الْحَسَنَةُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا إِلَى سَبْعِ مِائَةِ ضِعْفٍ وَالسَّيِّئَةُ بِمِثْلِهَا إِلَّا أَنْ يَتَجَاوَزَ اللَّهُ عَنْهَا. (البخاري)
10 - Dari Abi Sa'id Al-Khudri ra., bahawa ia telah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: "Apabila seseorang itu memeluk Islam,  lalu ia mengerjakan amal-amal yang membuktikan keislamannya dengan sebaik-baiknya (serta dengan ikhlas), Allah akan mengampunkan tiap-tiap kejahatan yang telah dilakukannya dahulu (sebelum Islam) dan sesudah itu dijalankanlah balasan (bagi segala amalnya) - tiap-tiap satu kebaikan (akan dibalas) dengan sepuluh kali gandanya hingga kepada tujuh ratus kali ganda dan tiap-tiap satu kejahatan (akan dibalas) dengan satu kejahatan yang menyamainya, kecuali jika Allah mengampunkannya."
(Bukhari)
Hadis yang kesepuluh ini mengandungi:
(1) Setiap orang yang masuk Islam dengan sebenar-benarnya akan diampunkan segala dosanya yang telah lalu.
(2) Sesudah ia masuk Islam, baharulah ia akan diberi balasan menurut ketetapan yang tertentu.
(3) Balasan orang yang berdosa,  terserah kepada Allah. 
Huraiannya:
Pertama - Soal orang kafir masuk Islam:
Tiap-tiap perbuatan yang dikerjakan dan kepercayaan yang dii'tikadkan oleh seseorang tetap dikira baik dan buruknya, atau pahala dan dosanya.
Tetapi orang kafir apabila masuk Islam, maka segala bawaannya meliputi perbuatan dan kepercayaan yang dilakukannya sebelum itu diampunkan dan bersihlah ia dari menanggung sebarang dosa. 
Kedua - Balasan amalnya yang dilakukan setelah memeluk Islam: 
Sesudah itu dijalankan semula hitungan tentang kepercayaan dan amal-amal yang dilakukannya, juga tentang dosa dan pahalanya, iaitu tiap-tiap satu amal kebajikan yang dikerjakannya apakala sempurna syaratnya diberi balasan sepuluh kali ganda hingga tujuh ratus kali ganda, menurut kesempurnaan amal-amal itu dan keikhlasan orang yang mengerjakannya.
Sebaliknya tiap-tiap satu amal kejahatannya - jika dikehendaki Allah - dibalas dengan hanya satu kejahatan yang sama dengannya.
Ketiga - Balasan orang yang berdosa: 
Dalam hadis ini, Rasulullah s.a.w. menerangkan satu hakikat bahawa orang yang melakukan dosa tak boleh ditentukan balasan buruknya, kerana hal itu terserah kepada Allah Azza wa jalla. 
Oleh yang demikian, tidak harus bagi seseorang menentukan balasan buruk kepada orang yang mati dalam maksiat. 
Dengan ini tertolaklah pegangan puak yang menetapkan balasan neraka kepada orang yang melakukan dosa besar dan pegangan puak yang mengatakan bahawa orang yang berdosa besar,  terkeluar dan Islam; juga tertolaknya kepercayaan puak yang menetapkan bahawa orang yang berdosa besar itu kekal dalam neraka. 
Hadis Kesebelas
 عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا أَحْسَنَ أَحَدُكُمْ إِسْلَامَهُ فَكُلُّ حَسَنَةٍ يَعْمَلُهَا تُكْتَبُ لَهُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا إِلَى سَبْعِ مِائَةِ ضِعْفٍ وَكُلُّ سَيِّئَةٍ يَعْمَلُهَا تُكْتَبُ لَهُ بِمِثْلِهَا. (البخاري)
11 - Dari Abu Hurairah r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Apabila salah seorang dari kamu mengerjakan amal-amal yang membuktikan keIslamannya dengan sebaik-baiknya (serta dengan ikhlas), maka tiap-tiap kebaikan yang dikerjakannya akan ditulis baginya sepuluh kebaikan yang menyamainya hingga kepada tujuh ratus kali ganda dan tiap-tiap satu kejahatan yang dilakukannya akan ditulis baginya (satu kejahatan) yang menyamainya."
(Bukhari)
Hadis yang kesebelas ini mengandungi tentang:
Nilaian Islam terhadap kebajikan dan kejahatan: 
Huraiannya:
Islam memang ada kelebihannya dengan sifatnya agama yang sah di sisi Allah. Di antara kelebihan-kelebihan Islam ialah tiap-tiap satu amal yang baik diberi balasan sekurang-kurangnya dengan sepuluh kali ganda. Kelebihan ini tidak dapat dicapai dengan pengakuan mulut semata-mata, atau dengan sebab keturunan Islam sahaja, tetapi dicapai hanya dengan amal-amal yang baik,  yang sempurna lagi ikhlas untuk beroleh keredhaan Allah `Azza wa Jalla.
Bagi orang yang baru masuk Islam, sebagaimana yang diterangkan perihalnya dalam hadis yang kesepuluh, hendaklah - selain daripada tetapnya mematuhi Islam - masuknya dengan tujuan mencari keredhaan Allah semata-mata, bukan kerana tujuan yang lain.
Bagi orang-orang yang berketurunan Islam pula, hendaklah mereka tetap mematuhi Islam, dan mengerjakan ajaran-ajaran Islam dengan sempurna dan ikhlas!  Dengan yang demikian baharulah Islamnya itu dinilai oleh Allah Taala dan diberi balasan yang berganda-ganda.
Hadis Kedua Belas
 عَنْ عُبَادَةَ بْنِ الصَّامِتِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ شَهِدَ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ وَأَنَّ عِيسَى عَبْدُ اللَّهِ وَرَسُولُهُ وَكَلِمَتُهُ أَلْقَاهَا إِلَى مَرْيَمَ وَرُوحٌ مِنْهُ وَالْجَنَّةُ حَقٌّ وَالنَّارُ حَقٌّ أَدْخَلَهُ اللَّهُ الْجَنَّةَ عَلَى مَا كَانَ مِنْ الْعَمَلِ. (البخاري ومسلم)
12 - Dari Ubadah bin As-Samit r.a., dari Nabi s.a.w., sabdanya: "Sesiapa yang meyakini serta menerangkan kebenaran bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah yang Maha Esa, tiada sekutu bagiNya dan bahawa sesungguhnya Nabi Muhammad ialah hambaNya dan RasulNya dan bahawa sesungguhnya Nabi Isa ialah hamba Allah dan anak hambaNya (Mariam) serta RasulNya dan (Nabi Isa juga ialah "Kalimah Allah"(1) yang telah disampaikan kepada Maryam dan (ia juga tiupan) roh daripadaNya(2) dan (bahawa) Syurga (yang dijanjikan) itu benar dan Neraka (yang dijanjikan) itu benar,  nescaya Allah akan memasukkannya ke dalam Syurga dengan apa sahaja keadaan amalnya."
(Bukhari dan Muslim)
__________________________
(1) "Kalimah Allah" yakni Nabi Isa (a.s.) dijadikan oleh Allah Taala tidak berbapa, hanya dengan kalimah "Kun" ertinya: "Jadilah engkau" maka menjadilah ia.
(2) Yakni bahawa Nabi Isa (a.s.) dikandungkan oleh ibunya: Siti Maryam yang masih gadis hanya dengan tiupan "Roh Al-Qudus" (Malaikat Jibril) yang datang kepadanya dengan perintah Allah `Azza Wa Jalla, meniupkan benih ke dalam rahimnya.
Kandungan hadis yang kedua belas ini menerangkan: 
(1) Keyakinan dan penerangan yang dengannya seseorang tetap dimasukkan ke dalam Syurga. 
(2) Islam menentang fahaman-fahaman sesat. 
Huraiannya:
Pertama - Keyakinan dan Penerangan: 
Untuk mendapat balasan baik dari Allah s.w.t. dan perlindungan dari azabNya, maka tak dapat tidak seseorang itu mestilah melafazkan kalimah syahadat iaitu menerangkan keyakinannya tentang keesaan Allah,  kerasulan Nabi Muhammad s.a.w dan menerangkan keyakinannya bahawa Nabi Isa (a.s.): Hamba Allah dan RasulNya, juga menerangkan keyakinannya tentang adanya balasan Syurga dan Neraka. 
Maka sesiapa mati dengan berpegang teguh kepada i'tikad yang demikian nescaya tetaplah ia menjadi ahli Syurga. Dalam pada itu kalaulah ia seorang yang mengerjakan perkara-perkara yang diwajibkan dan menjauhkan diri dari segala yang diharamkan, maka ia akan terus masuk Syurga;  kalau tidak maka perkaranya terserah kepada Allah - jika Allah kehendaki diazabkannya menurut dosa-dosa dan kecuaiannya, kemudian dimasukkan dia ke dalam Syurga dan jika Allah kehendaki diampunkannya dan dimasukkan dia ke dalam Syurga.
Kedua - Menentang fahaman Sesat: 
Hadis Rasulullah s.a.w. ini menerangkan asas kepercayaan Islam yang menolak bulat-bulat kepercayaan dan fahaman:
(1) Orang-orang Kristian yang mengatakan kononnya Nabi Isa anak Tuhan. 
(2) Orang-orang Yahudi yang mengingkari kerasulan Nabi Isa. 
(3) Puak-puak yang mengatakan tidak ada Syurga dan Neraka. 
http://islamgrid.gov.my/hadith/detailed.php?id=4


Tiada ulasan:

Catat Ulasan