" tiada paksaan dalam (menganut agama Islam), sesungguhnya telah jelas (perbezaan) antara jalan yang benar dan jalan yang sesat"
-(Al Baqarah: 256)

Isnin, 23 Julai 2012

Isu malam Lailatul Qadr & zakat fitrah

KULIAH URA (UNIVERSITI RAMADHAN AL-MUBARAK)
Oleh Dr. Yusof Al-Qardhawi  
Bilakah malam Lailatul Qadr?

Dr. Yusof al-Qardhawi mengatakan bahawa tidak ada pendapat yang pasti di dalam menentukan bilakah malam lailatul qadr. Al-Hafiz Ibnu Hajar mengatakan bahawa terdapat 46 pendapat ulama’ di dalam masalah ini.

Apa yang pasti ia adalah pada 10 malam yang terakhir dari bulan Ramadhan. Pendapat yang kuat adalah ia pada salah satu dari malam-malam ganjil dan kemungkinan tidak sama di antara satu tahun ke satu tahun berikutnya.
 
Jika Ramadhan tahun itu 30 hari, maknanya 10 malam terakhir itu bermula dari malam ke 21. Jika Ramadhan tahun itu 29 hari, maknanya 10 malam terakhir itu bermula dari malam ke 20.

Bolehkah zakat fitrah dikeluarkan di awal bulan Ramadhan (bukan sebelum solat Aidil Fitri seperti yang diamalkan oleh sebahagian umat Islam)?
Dr. Yusof al-Qardhawi mentarjihkan pandangan Imam Syafie di dalam masalah ini. Imam Syafie berkata:  
  • “Harus dikeluarkan zakat bermula dari awal bulan Ramadhan kerana illah (sebab) kewajipan zakat adalah puasa dan berbuka.”
Dr. Yusof al-Qardhawi juga menambah bahawa masyarakat pada hari ini jauh lebih luas dan lebih rumit dari masyarakat di zaman Rasulullah s.aw. Ditambah pula jika zakat itu dikutip dan diagihkan oleh badan kerajaan atau mana-mana badan swasta, sudah tentulah ia memerlukan masa untuk menguruskan pengagihannya agar ia betul-betul dapat memenuhi keperluan si penerima zakat di hari Raya nanti.
Bolehkah wang menggantikan beras atau gandum di dalam zakat fitrah?

Imam Ahmad, Imam Malik dan Imam Abu Hanifah tidak membenarkan beras atau gandum tersebut diganti dengan wang tunai. Dr. Yusof al-Qardhawi mentarjihkan pandangan Ibnu al-Munzir yang mengharuskannya.
Di antara hujah yang diberikan oleh Dr. Yusof al-Qardhawi:
  • (i) Rasulullah s.a.w. mewajibkan zakat fitrah dikeluarkan dalam bentuk tanaman kerana itu adalah yang termudah pada masa itu kerana wang pada zaman itu tidak banyak dimiliki oleh orang ramai
  • (ii) Wang akan berubah nilainya dari masa ke semasa sedangkan sukatan makanan lebih mudah untuk diukur
Dengan itu Dr. Yusof al-Qardhawi merumuskan bahawa bentuk pengeluaran zakat yang paling afdhal bergantung kepada yang manakah yang mudah dan lebih memenuhi keperluan penerima zakat. Apa yang jelas adalah wang lebih memenuhi keperluan penerima zakat kerana kerana wang bukan sahaja dapat memenuhi keperluannya kepada makanan sahaja sebaliknya boleh digunakan untuk membeli pakaian, keperluan Ramadhan dan keperluan hari raya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan