" tiada paksaan dalam (menganut agama Islam), sesungguhnya telah jelas (perbezaan) antara jalan yang benar dan jalan yang sesat"
-(Al Baqarah: 256)

Khamis, 19 Julai 2012

Adakah boleh ditetapkan awal Ramadhan melalui kiraan falak?

KULIAH URA (UNIVERSITI RAMADHAN AL-MUBARAK)
Oleh Dr. Yusof Al-Qardhawi 



Dr. Yusof al-Qardhawi menyetujui pandangan Imam Taqiyuddin al-Subki, salah seorang ulama’ mazhab Syafie yang mengatakan bahawa apabila kiraan falak menyatakan kemustahilan dilihat anak bulan dengan pandangan mata, maka persaksian sesiapa yang mendakwa melihat anak bulan akan ditolak.
Beliau mengatakan bahawa ini juga adalah pandangan Syeikh Al-Azhar Muhammad Mustafa al-Maraghi dan pandangan seorang ulama’ hadis, Syeikh Syakir. Selain itu beliau juga membawakan kata-kata Ibnu Sarij yang mentafsirkan hadis: 
  • “Jika tidak jelas bagi kamu (cuaca buruk yang menghalang dari melihat anak bulan), maka taqdirkanlah” sebagai ‘jika tidak jelas bagi kamu, maka lakukanlah kiraan turun naik bulan.”
Dr. Yusof al-Qardhawi menyatakan bahawa kiraan falak boleh dijadikan sekurang-kurangnya sebagai hujah untuk menafikan awal Ramadhan. Dengan itu jika ahli falak mengatakan bahawa pada hujung hari ke 29 bulan Sya’ban, anak bulan mustahil akan kelihatan, maka tidaklah perlu dikumpulkan orang ramai dan dikeluarkan kos untuk meneropong anak bulan. Sebaliknya umat Islam hendaklah terus menyempurnakan 30 hari Sya’ban.
Beliau menguatkan hujahnya dengan sabda Rasulullah s.a.w.:   
  • “Kami kaum buta huruf yang tidak pandai mengira dan membaca.”  
 Beliau menafsirkan hadis tersebut sebagai keadaan dan sebab kenapa di zaman Rasulullah s.a.w., awal Ramadhan ditentukan dengan melihat anak bulan.
Adapun hadis: 
  •  “Berpuasalah apabila melihat anak bulan dan berbukalah apabila melihat anak bulan. Jika tidak jelas bagi kamu, sempurnakanlah 30 hari Sya’ban.”  
Beliau mentafsirkan hadis ini berdasarkan kaedah fiqh bahawa hadis ini menyatakan matlamat yang tetap dan wasilah yang boleh berubah. Matlamat yang tetap adalah penentuan awal Ramadhan. Wasilah yang berubah adalah persaksian anak bulan dengan menggunakan mata. Jika ada cara yang lebih baik dari persaksian mata, maka wasilah itu diterima. Kiraan falak di zaman ini sudah tentunya lebih tepat dan lebih baik dari persaksian mata.

http://www.qaradawi.net/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan