Apabila Allah menyeru dalam al-Quran dengan panggilan ‘Wahai mereka yang beriman!’ maka kita pun memerhatikan semula diri kita. Apakah kita ini termasuk dalam kalangan tersebut ataupun tidak. Setelah kita pasti bahawa kita termasuk, maka kita pun menunggu arahan yang seterusnya. Melainkan jika kita merasakan yang kita tidak termasuk. Ataupun, jika terlupa bahawa kita ini tergolong dalam golongan itu. Jika sampai terlupa, mungkin sudah terhakis banyak ciri tersebut.
Antara yang Allah seru dengan panggilan “Wahai mereka yang beriman” ialah dalam arahan berpuasa pada Bulan Ramadan. Firman Allah: (maksudnya)
“Wahai mereka yang beriman! diwajibkan ke atas kamu puasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, mudah-mudahan kamu bertaqwa”. (Surah al-Baqarah 183).
Setiap mukmin berpuasa kerana panggilan ini. Mereka berpuasa kerana merasakan panggilan itu membabitkan diri mereka. Mereka termasuk dalam seruan tersebut. Tidak kerana orangramai berpuasa, tidak kerana ia suatu budaya yang diamalkan (practised culture) yang sudah menjadi kebiasaan yang dilakukan tanpa sedar tentang hakikat dan nilai. Ia tidak sama seperti membuat ketupat dan rendang menjelang hariraya. Itu budaya sesuatu bangsa yang diamalkan secara turun temurun tanpa perlu berfikir sebabnya. Ia sekadar memeriah suasana hariraya bagi masyarakat Melayu. Sementara masyarakat lain mempunyai budaya yang pula. Namun puasa tidak demikian. Ia bukan budaya, tetapi ia satu arahan ibadah dari Maha Agung. Jika ditakdirkan kita berada di suatu tempat ataupun zaman yang tiada siapa pun yang berpuasa, kita tetap akan berpuasa selagi mana kita mengiktiraf bahawa kita ini beriman kepada Allah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan