" tiada paksaan dalam (menganut agama Islam), sesungguhnya telah jelas (perbezaan) antara jalan yang benar dan jalan yang sesat"
-(Al Baqarah: 256)

Jumaat, 27 Julai 2012

Syirik tersembunyi



 Ikhlas amatlah penting dalam setiap amalan. Bahkan ia menjadi penentu utama sesuatu amalan itu diterima ataupun ditolak di sisi Tuhan. Tanpa ikhlas, manusia akan memanipulasikan amalan baik dengan tujuan yang tidak baik. Bahkan betapa banyak orang yang menzahir keikhlasan, ketaqwaan dan kezuhudan tetapi mereka sebenarnya tidak ikhlas, tiada taqwa dan tidak bertujuan zuhud. Apa yang tersemat dalam jantung hati mereka tidak sama dengan apa yang mereka zahirkan. Sehingga sesetengah golongan sufi yang berpakaian selekeh untuk menzahirkan sifat zuhud tetapi itu sebenarnya untuk menunjuk-nunjuk. Inilah yang dikritik oleh al-Imam Ibn Jauzi (meninggal 597H) dengan menyatakan:

“Di kalangan golongan zuhhad (golongan sufi) ada mereka yang memakai baju yang koyak tidak dijahit dan membiarkan serban dan janggutnya tidak berurus untuk menunjukkan dia tidak mementing dunia. Ini sebahagian dari riyak (menunjuk-nunjuk)”. (Ibn Jauzi, Talbis Iblis, m.s. 179-180, Beirut: Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah).
Justeru itu, Islam memberikan pelbagai peringatan agar insan jujur dengan amalan baiknya. Firman Allah (maksudnya):
“Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan yang demikian itulah agama yang benar” (Surah al-Baiyyinah: 5).
Islam juga mengingatkan bahawa ketidak ikhlasan adalah sejenis syirik yang tersembunyi. Sedangkan syirik itu adalah dosa yang paling besar dalam agama. Jika sampai mempersekutukan kebesaran Allah, boleh merosakkan akidah seseorang muslim. Nabi s.a.w menyebut:
“Syirik yang tersembunyi itu ialah apabila seseorang beramal untuk dilihat oleh orang lain” (riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak, hadis hasan).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan