Bermazhab dalam fekah itu bukan satu kesalahan. Namun fanatik mazhab adalah menyanggahi syarak. Imam-imam mazhab yang mulia seperti para imam yang empat dan selain mereka melarang sikap fanatik mazhab. Fanatik mazhab dalam ertikata berpegang dengan sesuatu pandangan dalam masalah fekah secara keras dan enggan melepaskannya sekalipun dirinya mengetahui bahawa pandangan tersebut salah, atau tidak berasas atau lemah, atau menyanggahi dalil syarak yang lebih kuat dan ada pendapat lain yang lebih benar atau kuat.
Prof Dr. Muhammad Raft ‘Uthman menyebut:
“Taksub mazhab adalah sesuatu yang dibenci dan dilarang di sisi syarak. Ini kerana maksud taksub mazhab ialah seseorang beriltizam dengan pendapat tertentu dalam masalah syarak dan enggan berubah, sedangkan dalam masa yang sama –antara dirinya dengan Allah azza wajalla- dia sedar pendapat tersebut tidak sahih, atau lemah, dan mazhab lain, atau ahli fekah lain telah memberikan pendapat yang sahih. Namun dia meninggalkan pendapat yang sahih tersebut dan mempertahankan pendapat yang lemah lagi bertentangan dengan yang sahih. Ini sikap yang dikecam di sisi syarak, kerana seseorang itu wajib beramal dengan apa yang dia yakin benar dari segi dalil dan kesahihannya. Seseorang tidak boleh berpegang dengan sesuatu pandangan sedangkan dia tahu pandangan itu lemah, atau tidak sahih. (lihat: al-Ta’asub al-Mazhabi Atharuhu ‘Ala al-Mazahib al-Islamiyyah, http://www.al-forqan.net/)
Mengikut sesuatu mazhab seperti Mazhab al-Syafi’i atau Hanafi atau Hanbali atau Maliki selain mereka dari kalangaan imam-imam yang muktabar bukan satu kesalahan, namun bukan juga satu kewajipan untuk seseorang menentu diri mesti sentiasa bermazhab tertentu. Seseorang muslim wajib menghormati para imam dan juga pandangan-pandang mereka. Namun, kita dilarang untuk taksub yang menghalang kita untuk meneliti atau memahami pendapat yang pelbagai dari mazhab-mazhab Islam tersebut.
Dr Yusuf al-Qaradawi menyebut:
“Perkara yang penting untuk anda mengetahuinya bahawa hukum orang awam mengikut salah seorang imam-imam mazhab ialah harus dengan syarat-syaratnya. Ianya bukan sesuatu yang wajib seperti yang dikatakan oleh golongan mutakhir. Ini kerana tiada kewajipan kecuali apa yang diwajibkan oleh al-Kitab dan al-Sunnah. Al-Quran dan al-Sunnah tidak mewajibkan seseorang terikat dengan mazhab. Maka tidak menjadi halangan untuk seseorang muslim bebas dari terikat dengan mana-mana mazhab. Dia boleh bertanya berkaitan agamanya kepada sesiapa sahaja di kalangan ulama. Tanpa perlu terikat dengan seseorang ilmuan sahaja tanpa bertanya orang lain. Inilah jalan para sahabah dan sesiapa yang mengikuti mereka dengan cara yang baik pada zaman sebaik-baik kurun. Allah telah selamatkan mereka dari taklid yang dicerca ini. Sebaik-baik manusia untuk bebas dari terikat dengan mazhab ialah sesiapa yang baru menganut Islam. Maka tiada kepentingan mewajibkannya apa yang tidak diwajibkan Allah ta’ala. Dia boleh bertanya sesiapa sahaja dari kalangan ulama yang dia mahu. Wajib ditulis untuk mereka buku-buku fekah yang memudahkan tanpa terikat dengan mazhab tertentu”.( Al-Qaradawi: Dr Yusuf, Kaif Nata’amal Ma’ al-Turath, m.s. 83-84, Kaherah: Maktab Wahbah).
Elakkanlah fanatik mazhab. Dalam masa yang sama kita menghormati para imam mazhab atas limpahan kesarjanaan mereka. Dr al-Qaradawi menjelaskan:
(Al-Qaradawi, Taisir al-Fiqh li al-Muslim al-Mu’asir, m.s. 36).“Kebebasan kita dari sikap keras dalam bertaklid dan taksub mazhab tertentu tidak bermaksud kita mencerca mazhab-mazhab, atau menghina kedudukan para imam r.ahum. Ini tidak mungkin untuk dilakukan oleh seorang muslim yang mencium haruman ilmu. Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah telah mengarang kitab yang bernilai lagi masyur mengenai hal ini. Beliau namakan Raf’u al-Malam ‘an al-Immah al-A’lam yang mana diterangkan dalamnya keuzuran buat para imam apabila mereka meninggalkan hadis. Beliau menjelaskan bahawa tiada seorang pun dalam kalangan mereka yang sengaja menyanggahi RasululLah s.a.w., atau cuba berpaling dari sunnah baginda yang thabit…Namun yang kita maksudkan kebebasan dari mazhab ialah: seorang ahli fekah tidak mengikat dirinya dengan ikatan yang tidak diwajibkan oleh Allah dan RasulNya. Maka dia hendaklah mengambil pandangan dari mana-mana mazhab sekalipun, yang didapati lebih kuat hujahnya berdasarkan penilaian syarak”.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan