Sebenarnya, menghayati Islam yang tulen bererti menghayati tamadun keagungan. Namun penafsiran Islam yang sempit dan pengamalnya yang bersifat konservatif telah menggagalkan usaha membawa kembali Islam yang asal lagi tulen. Sumber Islam ialah al-Quran dan al-Sunnah dengan berteraskan tafsiran generasi awal (salaf) yang terbukti berjaya memimpin alam ini dahulunya. Sesiapa yang menghayati dan beramal dengan sumber agung ini bererti dia mengamalkan Islam yang sebenar. Sesiapa yang mengamalkan Islam yang sebenar bererti dia sedang menghayati tamadun yang agung. Kemunduran umat hari ialah kerana mereka menyimpang dari kedua sumber agung ini. Atau salah dalam menafsirkan kedua sumber tersebut.
Perlu dingat, kita tidak boleh untuk membina tamadun kegemilangan dengan membebaskan diri dari ikatan-ikatan Islam, kononnya kerana inginkan kemajuan. Jika kita inginkan ketamadunan dengan memisahkan diri dari ikatan Islam iaitu al-Quran dan al-Sunnah, maka tidak perlu kita membinanya atas nama Islam. Jika inginkan ketamadunan dalam ertikata yang tidak difahami oleh Islam, Tamadun Barat sudah terbentang luas untuk kita menganutinya. Namun apabila kita ingin membina kemajuan dan ketamadunan atas nama Islam, maka kita mesti terikat dengan kehendak dan peraturan Islam.
Kata Dr Yusuf al-Qaradawi: “Namun yang kita ingin tegaskan sejak dari awal bahawa hadarah (ketamadunan) yang Islam hendak dirikannya bukan seperti tamadun-tamadun yang lain yang lebih mementingkan sudut kebendaan dalam kehidupan, yang lebih mementingkan sudut jasad dan nafsu pada insan. Mementingkan kelazatan yang segera di dunia. Maka ia menjadikan dunia itu perkara terbesar yang diambil berat dan sekadar itu ilmunya. Ia tidak meletakkan bagi Allah suatu kedudukan yang disebut di dalam falsafahnya. Akhirat tiada ruang baginya dalam sistem pemikiran dan pendidikan. Ini bercanggah dengan hadarah al-Islam (Tamadun Islam). Ia menyambungkan antara insan dengan Allah, mengikat antara bumi dengan langit. Ia menjadikan dunia untuk akhirat. Mencampurkan antara ruh dan kebendaaan. Menseimbangkan antara akal dan hati. Menghimpunkan antara ilmu dan iman. Ia mengambil berat tentang ketinggian akhlak seperti ia mengambil berat tentang kemajuan kebendaan. Ia sebenarnya tamadun keruhanian dan kebendaan, impian dan realiti, rabbani dan insani, akhlak dan pembangunan, individu dan jamaah. Ia adalah tamadun yang seimbang dan pertengahan”
(Dr. Yusuf al-Qaradawi, Al-Sunnah masdaran li al-Ma’rifat wa al-Hadarat, m.s. 204, cetakan: Dar al-Syuruq, Mesir.)
(Dr. Yusuf al-Qaradawi, Al-Sunnah masdaran li al-Ma’rifat wa al-Hadarat, m.s. 204, cetakan: Dar al-Syuruq, Mesir.)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan