" tiada paksaan dalam (menganut agama Islam), sesungguhnya telah jelas (perbezaan) antara jalan yang benar dan jalan yang sesat"
-(Al Baqarah: 256)

Sabtu, 26 Mei 2012

Saudara baru sertai peraduan dikir Syarafil Anam

Saudara baru sertai peraduan dikir Syarafil Anam

Oleh Nur Erfa Barizah HMR

Tetamu kehormat menyampaikan hadiah kepada johan peraduan, kumpulan Babul Aiman.


Peserta memperdengarkan bacaan dikir.

TUTONG, 25 Mei - Sebanyak lapan buah kumpulan dikir terdiri daripada saudara-saudara baru di Daerah Tutong menyertai Peraduan Dikir Syarafil Anam anjuran Pejabat Bahagian Da'wah Daerah Tutong bertempat di Dewan Seri Kenangan Kompleks Dewan Kemasyarakatan Tutong baru-baru ini.
Lapan kumpulan berkenaan termasuk enam kumpulan perempuan dan dua kumpulan lelaki yang mewakili kampung dan persatuan masing-masing.
Menurut ketua bahagian Da'wah Daerah Tutong, Awang Alizan bin Haji Ramle, dalam ucapannya, peraduan berkenaan merupakan usaha Bahagian Da'wah Tutong untuk melahirkan pendikir-pendikir di kalangan saudara-saudara baru itu sendiri, selain sebagai satu galakkan untuk mereka sentiasa aktif dalam memperdalami lagi lagu-lagu dikir yang terdapat di negara ini.
Beliau juga berkata, melalui peraduan seumpama ini saudara-saudara baru khususnya di Daerah Tutong ini akan berkemampuan membawakan lagu-lagu dikir dengan baik, indah dan sempurna serta menjadikan zikir sebagai amalan seharian.
Dalam peraduan ini, kumpulan Babul Aiman dari Kampong Belabau Tutong muncul sebagai juara, manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing dimenangi oleh kumpulan Nurul Huda dari Kampong Batang Mitus dan kumpulan Ahli Wanita MPK Long Mayan.
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan hadiah kepada para pemenang ialah Pemangku Ketua Pegawai Ugama Daerah Tutong, Awang Hassan bin Amat. Turut hadir menyaksikan peraduan tersebut ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara Yang Berhormat OKMB Haji Othman bin Uking.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan