" tiada paksaan dalam (menganut agama Islam), sesungguhnya telah jelas (perbezaan) antara jalan yang benar dan jalan yang sesat"
-(Al Baqarah: 256)

Selasa, 15 Mei 2012

Tikam Belakang : Curi Maklumat dan Jual

Kerahsiaan atau juga yang disebut ‘private and confidential’ (P&C) merupakan salah satu bentuk amanah yang amat perlu dijaga oleh mana-mana pekerja di dalam sesebuah organisasi. Tanpanya, begitu mudah seseorang boleh mencerobh hak yang lain lalu, menyebarkan kerahsiaan diri seseorang atau memakan harta secara bathil jika ia melibatkan meniaga maklumat dalaman. Selain dari ia merupakan suatu dosa yang menghitamkan hati ia juga boleh menjemput permusuhan dan pertelingkahan, semua ia dilarang di dalam Islam.

Malah jika ditinjau dan diteliti semua hukum melibatkan muamalat kewangan di dalam Islam, pastinya seseorang akan dapat menyimpulkan bahawa hukum Islam ingin mengelakkan dari berlakunya permusuhan yang berpunca dari transaksi kewangan. Atas dasar itu juga ayat terpanjang di dalam Al-Quran iaitu yang berada di dalam surah terpanjang iaitu suarah al-Baqarah adalah berkaitan hutang dan kepentingan menulis serta mengambil saksi dalam situasi tersebut.

Malah apabila kita juga dapat membaca ayat berkaitan harta pusaka, ia telah diperincikan oleh Allah secara qat’i atau amat jelas bagi mengelak permusuhan akibat harta.

MENYELUDUP MAKLUMAT PENTING

Baru-baru ini saya diajukan soalan berkenaan wujudnya kakitangan (atau bekas kakitangan) di sebuah syarikat yang membawa keluaran maklumat penting, strategi sasaran dan database maklumat pelanggan dan pembekal serta lain-lain yang dikira tergolong dalam most significant information and melibatkan strategi dalaman bagi syarikat terbabit.

Perlu difahami, maklumat dan informasi sedemkian merupakan hak milik persendirian bagi syarikat terbabit. Sebarang pengambilan dan ‘penyeledupan’ keluar oleh kakitangan tanpa kebenaran bertulis dari pemilik syarikat adalah sebuah kesalahan di sisi hukum Islam dan undang-undang civil.

Mengenalpasti jenis maklumat yang tergolong dalam klasifikasi tersebut adalah berbeza berdasarkan nature atau jenis perniagaan. Sebagai mengambil beberapa contoh, boleh dilihat seperti berikut:-

  1. Bagi sesebuah institusi kewangan Islam, salah satu keunikannya bergantung kepada sejauh mana kebijaksanaan product developer untuk bertungkus lumus mencipta sesebuah produk pembiayaan kewangan yang mampu menarik pelanggan, mampu jual dan patuh shariah. Apabila ia berjaya dihasilkan, struktur produk terbabit akan dianggap sebagai hak milik persendirian. Polisi biasa bagi sesebuah pengurusan bank adalah merahsiakan perincian produk dari saingan mereka. Dari sudut hukum pula, ia berhak melakukan demikian kerana itu dikira inteletual properties (IP) bagi mereka.
  2. Bagi sesebuah syarikat multi-level patuh Shariah pula, keunikkan mereka bergantung kepada beberapa perkara juga, antara lainnya adalah system networking dan juga data-data berkenaan stokis-stokis paling cemerlang dan network yang terkuat. Semua maklumat sebegini dikira sebagai ‘hasil tangan’ dan usaha keras syarikat yang semestinya tergolong di dalam hak milik persendirian yang dijaga dari sebaran awam khususnya pesaing mereka.
  3. Bagi sebuah restoran seperti McDonald, KFC, Secret recipe dan yang sepertinya, keunikan mereka terletak pada resepi masakan. Itu juga sebuah rahsia yang berharga, tiada akan didedahkan kepada awam.

Hasil dari kefahaman ini, semua majikan dan pekerja di apa jua jenis syarikat patut dan mesti menyedari hal ini, sebarang pengambilan data dan maklumat strategik sesebuah syarikat untuk dijual kepada pesaing atau bagi tujuan menubuhkan syarikat baru untuk bersaing (selepas berhenti), pada hemat saya termasuk di dalam kategori pekerja tidak amanah, khianat, mengambil hak milik orang lain tanpa hak, keadaan itu mengakibatkan pendapatan yang diterima dari tindakan susulannya (seperti menjual lalu mendapat hasil jualan) itu termasuk di dalam larangan yang sabit dari dalil-dalil berikut :-

1) Nabi bersabda :-
لا يحل لمسلم أن يأخذ عصا أخاه بغير طيب من نفسه
Ertinya: “Tidak halal bagi seorang msulim untuk mengambil tongkat saudaranya tanpa pengiktirafan dan kebenarannya”.
Hadis ini dengan jelas mengambil barang hak milik orang lain untuk kegunaan peribadi kita, apatah lagi jika ingin dijual dan dimanfaatkan sebagai perniagaan. Justeru, tindakan mengambil secara senyap-senyap data-data penting pembekal, pengedar dan pelanggan, milik ekslusif hasil penat lelah bagi sesebuah syarikat pastinya tidak halal dan termasuk dalam jenis kategori pecah amanah dan mencuri dari perspektif Islam.
2) Nabi bersabda :-
من استعملناه على عمل فرزقناه رزقا فما أخذ بعد ذلك فهو غلول
Ertinya : "Barangsiapa yang telah kami ambil untuk melakukan sesuatu kerja, dan telah ditetapkan baginya sesuatu rezeki (gaji atau upah), maka apa yang diambilnya selepas itu adalah ghulul (pengkhianatan) " ( Riwayat Abu Daud, no 2943, Albani : Hadith Sohih ; Ma'alim as-Sunan, Al-Khattabi, 3/8 cet Dar Kutub Ilmiah)
Hadis ini juga relevan dan termasuk dari sudut pendalilannya di dalam kes yang kita sebutkan di atas kerana, seseorang pekerja yang telah menerima gaji khas dan diberikan tugasan khusus oleh syarikat, tidak boleh sewenangnya mengambil sesuatu yang tidak termasuk dalam tugasannya secara senyap-senyap bagi mendapat keuntungan sampingan seperti menjual data dan informasi tersebut kepada pihak lain.
Keuntungan sampingan terbabit tergolong wang khianat dan curi menurut perspektif fiqh Islam. Ia dianggap curi kerana takrif curi adalah mengambil hak orang lain yang disimpan sebaiknya oleh pemilik tetapi dicerobohi oleh pencuri. Kerana itu takrif pencuri itu termasuk dalam tindakan pekerja atau bekas pekerja yang melakukan kerja seperti di atas.

2) Firman Allah s.w.t
وَلاَ تَأْكُلُواْ أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ ..
Ertinya : " Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antara kamu dengan jalan yang batil ...( Al-Baqarah : 188 )

Imam ibn Al-‘Arabi menegaskan ayat ini menerangkan satu dari kaedah utama dalam muamalat Islam, juga merupakan asas bagi semua kontrak pemilikan. Erti ‘makan’ didalam ayat tersebut adalah merangkumi penerimaan, pemberian dan penguasaan, digunakan lafaz ‘makan' hanyalah sebagai suatu perumpamaan yang merujuk kepada sifat ghalib (kebanyakkan kalian) yang kerap menjadi keutamaan bagi seseorang individu.

Manakala maksud al-bathil menurut Ibn Al-Arabi :
ما لا يحل شرعاَ لأن الشرع نهى عنه ومنع منه وحرم تعاطيه كالربا والغرر ونحوهما والباطل ما لا فائدة فيه
Ertinya : Apa sahaja yang tidak halal menurut syarak seperti riba, gharar dan seumpamanya, dan juga tiada membawa satu faedah dan manfaat (buat Islam)

Imam Al-Qurtubi memasukkan penipuan, rampasan, khianat, mengingkari janji untuk mendapat untung, mengambil hak orang lain tanpa restu, upah pelacuran, upah tukang tilik, bomoh, harga dan untung jualan arak, babi dan banyak lagi, semua ini tergolong dalam makanan harta secara bathil. Beliau menyimpulkan
من أخذ مال غيره لا على وجه إذن الشرع فقد أكله بالباطل
Ertinya : Sesiapa yang memakan harta orang lain tidak di atas landasan izin syarak, maka dia telah makan secara bathil.

Syeikh Rashid Ridha meluaskan lagi bentuk dan erti ‘bathil’ kepada
ما لم يكن في مقابلة شيء حقيقي وهو من البطل
Ertinya : Apa sahaja (bayaran) yang tidak mempunyai timbal balik yang wajar (yang punyai nilai pada pandangan syarak), lagi sebenar, maka ia tergolong dalam erti bathil.

Keuntungan yang terhasil dari kejayaan seseorang bekas pekerja yang mencuri data dan maklumat penting syarikat dimana dia bekerja sebelumnya untuk dijual adalah juga haram. Nabi pernah diriwayatkan bersabda:-
إن الله إذا حرم شيئا حرم ثمنه
Ertinya : Sesungguhnya Allah apabila telah mengharamkan sesuatu maka akan haram jugalah harga jualan (keuntungan yang terhasil dari yang haram) ( Ar-Rawdu Al-Murabba', 2/30 ; Riwayat Ibn Hibban, 11/312 )

3) Nabi SAW juga pernah mencela orang Yahudi yang apabila diharamkan memakan daging babi dan lain-lain, mereka membuat helah dengan mengambil lemaknya dan dihiaskan lalu dijualnya. Apabila Nabi mendapat tahu lalu terus berkata :-
قَاتَلَ الله الْيَهُودَ حُرِّمَ عليهم الشَّحْمُ فَبَاعُوهُ وَأَكَلُوا ثَمَنَهُ
Ertinya : "Allah akan menghancurkan Yahudi yang mana mereka ini apabila Allah mengharamkan makan lemak (babi, bangkai dan lain-lain yang diharamkan), lalu mereka membuat helah dengan menjualnya serta menikmati hasil jualannya" ( Riwayat Al-Bukhari no 2111, 2/775 ; Muslim, Baihaqi )

PERANAN KITA YANG SEDAR
Bagaimana jika kita sedar hal ini sedang dilakukan oleh mana-mana rakan setugas kita, patutkah kita bertindak melaporkan kepada pihak atasan atau hanya membiarkannya dengan alasan kasihan dan dibimbangi akan menyusahkannya?
Menurut hukum Islam, individu yang mengetahui wajib ke atasnya untuk melaporkan kepada pihak bertanggungjawab. Jika tidak, ia dikira bersubahat dan boleh mendapat serpihan dosa hasil menyembunyikannya. Penyembunyian atau membiarkan gejala ini berterusan di sekeliling kita akan memberikan kesan buruk kepada Islam, syarikat, organisasi dan Negara. Akhirnya, semuanya akan terkesan dan merudum jatuh.

Namun sedikit dukacita, saya pasti senarai sebab-sebab berikut merupakan antara halangan utama seseorang yang mengetahui atau punyai maklumat dari melaporkannya :-
1) Tidak sampai hati untuk melapor kerana mereka yang terlibat adalah rakan dan kenalan rapat. Bagi sesiapa yang terlibat dalam kategori ini, sedarilah anda turut berdosa kerana bersubahat.
2) Bersikap tidak peduli yang berpegang dengan falsafah ‘lantak hang, asalkan tidak melibatkan aku’. Ini juga dikira berdosa di dalam Islam.
3) Malas untuk terlibat dan ulang alik ke mahkamah untuk keterangan di sana dan di sini jika diperlukan kelak. Sepatutnya, tiada malas dalam menjalankan tugas memerangi mungkar dan kemaksiatan. Malas begini menandakan hati yang semakin ‘mati' dari iman.
4) Takut diri sendiri terjerat apabila kerahsiaan dirinya sebagai pelapor tidak di jamin selamat. Ini juga perlu di selesaikan oleh pihak atasan dan berkuasa. Tanpanya, semua hanya akan berdiam diri.

Bagi keadaan ini, ia adalah tanda kehancuran sedang menanti bagi Negara yang punyai keadaan ini.
Nabi Muhammad s.a.w bersabda :

"Sesungguhnya kebinasaan umat-umat sebelum kalian adalah jika orang yang terhormat dari mereka mencuri, mereka membiarkannya, tetapi jika orang bawahan mereka mencuri, mereka potong tangannya. Demi Zat yang jiwaku ada di tanganNya, seandainya Fatimah binti Muhammad mencuri, nescaya akan aku potong tangannya!" 

BOLEHKAH KITA TERLIBAT MEMBANTU MEREKA?
Bagaimana pula jika kita sebagai orang luar yang mengetahui si polan ini mencuri maklumat penting bekas syarikatnya dan kini sedang mengajak untuk menyertainya dan terus meraih keuntungan. Apakah pendirian fiqh Islam dalam hal ini?
Menurut pengamatan saya, Allah swt telah menyediakan dalil umum yang jelas iaitu
وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ
Ertinya: Dan bantu membantulah di atas kebaikan dan taqwa, dan janganlah membantu di atas perkara maksiat dan permusuhan (Al-Maidah)
Juga satu dalil dari hadis Nabi :
اسمعوا ، هل سمعتم أنه سيكون بعدي أمراء ، فمن دخل عليهم فصدقهم بكذبهم ، وأعانهم على ظلمهم فليس مني ، و لست منهم ، و ليس بوارد عليّ الحوض ، و من لم يدخل عليهم ، ولم يعنهم على ظلمهم ، و لم يصدقهم بكذبهم فهو مني و أنا منه ، و هو وارد عليّ الحوض
Ertinya : Dengarlah, adakah kamu mendengar bahawa akan terjadi selepasku, kemunculan ramai pemerintah, sesiapa yang menyertai mereka dan membenarkan penipuan mereka, dan membantu matas kezaliman mereka, bukanlah mereka dariku (ummatku) , dan aku tidak berkait dengan mereka (tidak mendapat syafaat) serta tidak dapat menikmati telagaku ( disyurga), dan barangsiapa yang tidak menyertai mereka dan tidak membantu kezaliman mereka serta tidak membenarkan kerja-kerja (zalim) mereka, itulah mereka yang termasuk dari kalanganku dan aku juga sebahagian darinya. (Riwayat An-Nasa’ie)
Jelas, ayat di atas dan banyak lagi, melarang apa jua unsur yang dianggap membantu menaikkan lagi sesuatu kezaliman. Maka, kehadiran pihak ketiga yang turut membantu dan menyertai sebauh perniagaan hasil barang curi juga akan terjebak dalam kezaliman dan ketidakadilan. Sama-samalah menjauhinya agar keberkatan di dalam harta pendapatan kita dapat terus dijaga dan dipelihara sehinggalah nafas terakhir kelak. InshaAllah.
-Dr Zaharuddin Abd Rahman

Tiada ulasan:

Catat Ulasan