" tiada paksaan dalam (menganut agama Islam), sesungguhnya telah jelas (perbezaan) antara jalan yang benar dan jalan yang sesat"
-(Al Baqarah: 256)

Rabu, 16 Mei 2012

Persaudaraan merupakan jalinan kemesraan dan kasih sayang.



Hal ini ditekankan oleh Rasulullah, seperti yang dipetik dari hadis riwayat Imam Malik, Bukhari, Abu Daud, Tirmidhi dan Nasa’i,

"Janganlah kamu saling memutuskan silaturrahim, janganlah kamu saling belakang membelakangi, janganlah kamu saling benci-membenci dan janganlah kamu saling hasad menghasad. Sebaliknya jadilah kamu hamba hamba Allah yang bersaudara. Tidak halal bagi seorang Muslim itu memulaukan saudaranya (yang mukmin) melebihi 3 hari".

Dalam hadis lain Nabi s.a.w menyebut :

“Orang Islam itu bersaudara, tidak boleh menzalimi dan mengkhianatinya. Sesiapa yang menolong saudaranya, nescaya Allah akan menolongnya. Sesiapa yang menghilangkan kesusahan orang Islam nescaya Allah akan menghilangkan daripadanya kesusahan pada hari kiamat. Sesiapa yang menutup keaiban orang Islam nescaya Allah akan menutup keaibannya pada hari kiamat.”(riwayat Ahmad)


Dalam kita mengejar urusan dunia, kita sering lalai dan melanggari batas-batas hubungan sesama manusia. Perkara umpat mengumpat, kata-mengata, fitnah memfitnah amat jelas terjadi dalam kehidupan harian. Maka hendaklah kita ambil iktibar dari hadith ini untuk menjaga kemaslahatan ukhuwwah umat Islam itu, kelak hal ini jika tidak dijaga, maka ia akan menimbulkan pertelingkahan sesama muslim pula. Juga disebut dalam hadis Rasulullah akan tuntutan menunjukkan kemesraan dalam komunikasi harian sesama manusia,

"(Janganlah kamu memandang rendah terhadap sesuatu kebaikan, walaupun dengan cara bermanis muka ketika bertemu saudaramu (kerana itu juga satu kebaikan)."(Hadis riwayat Muslim)

Malah Yusuf al-Qaradhawi dalam karyanya “Wabak Kemiskinan Dan Cara-cara Islam Merawatinya, 1988” menjelaskan, Islam menjadikan orang yang ada hubungan persaudaraan dan pertalian kaum kerabat sebagai golongan yang bersatu padu dan saling memikul tanggungjawab bersama. Individu yang kuat membantu yang lemah dan yang kaya pula membantu yang miskin. Itulah yang mendorong mereka kepada saling bersimpati dan tolong–menolong serta mengukuhkan ikatan antara mereka. Jelaslah di sini menunjukkan betapa Islam itu menekankan peri pentingnya komponen-komponen asas bagi menerapkan roh persaudaraan di kalangan umatnya. Oleh yang demikian sekiranya asas-asas ini dicemari dengan elemen yang boleh menjejaskan keharmonian dalam persaudaraan maka ia akan melahirkan satu entiti masyarakat yang bersifat individualistik. Ini disebabkan pembangunan manusia didorong kepentingan material dan tidak diseimbangkan dengan pembangunan insan yang ideal.
by: United Muslim Nations on Saturday, September 25, 2010 at 1:58am

Tiada ulasan:

Catat Ulasan