Persoalan jual beli yang terus
berlangsung di kalangan peniaga dan pembeli lelaki selepas azan pada hari
Jumaat perlu dipandang serius atau ia akan berterusan.
PENGHARAMAN
JUAL BELI SELEPAS AZAN DI HARI JUMAAT
Solat Jumaat adalah wajib
hanya ke atas lelaki baligh dan bukan wanita. Justeru setiap urusniaga di
antara wanita dengan wanita selepas azan pertama atau kedua dikumandangkan pada
hari Jumaat adalah sah dan harus. Justeru, ia tidak termasuk di dalam
perbincangan para ulama dan bukan pula fokus artikel ini. Ia adalah satu
keharusan yang disepakati oleh keempat-empat mazhab terbesar dalam Fiqh Islam.
Demikian juga halnya
bagi mereka yang tidak wajib solat jumaat kerana sebab lain seperti sakit,
musafir dan sebagainya.
Perbincangan hukum
hanya berkisar kepada para lelaki, sama ada peniaga lelaki, pembeli lelaki atau
kedua-duanya sekali yang sihat, baligh dan tidak bermusafir.
Asas hukum adalah
dari surah al-Jumaat ayat 9 yang maksud-Nya:
يَا
أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِي لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ
فَاسْعَوْا إِلَى ذِكْرِ اللَّهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ذَلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن
كُنتُمْ تَعْلَمُونَ
Ertinya :Hai
orang-orang yang beriman, apabila diseru untuk menunaikan sembahyang pada hari
Jumat, maka bersegeralah kamu kepada mengingat Allah dan tinggalkanlah jual
beli. Yang demikian itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.
AZAN
PERTAMA ATAU KEDUA?
Walaupun telah ijma'[1] di kalangan ulama akan pengharaman jual beli berdasarkan ayat di atas, mereka
berbeza ijtihad dalam menentukan pengharaman itu jatuh selepas azan pertama
atau kedua.
Perlu difahami bahawa
azan Jumaat di zaman Nabi s.a.w, Abu Bakar as-Siddiq r.a dan Umar r.a hanyalah
sekali sahaja, iaitu di ketika khatib (imam) naik ke atas mimbar untuk
memulakan khutbah. Di zaman pemerintahan khalifah Uthman r.a, bilangan umat
Islam bertambah lalu diperkenalkan azan kedua dan seterusnya ketiga (berfungsi
sebagai iqamah).
Namun, hasil daripada
kewujudan lebih dari satu azan selepas zaman Uthman, para ulama sekali lagi perlu
berijtihad dalam menentukan azan manakah yang mesti tiada lagi jual beli
selepasnya. Mazhab Maliki dan Hanbali jelas dan tegas bahawa pengharaman adalah
selepas azan kedua iaitu di ketika khatib sudah naik ke atas mimbar, ia juga
bertepatan dengan suasana di ketika turunnya ayat Al-Quran, para masa hayat
baginda Nabi s.a.w.[2]
Imam At-Tohawi Al-Hanafi
menegaskan :-
المعتبر الأذان عند المنبر بعد خروج
الإمام ، فإنه هو الأصل الذي كان للجمعة على عهد رسول الله صلى الله عليه وسلم
Ertinya : Azan yang terpakai (dalam hal ini) adalah
yang ketika keluar imam di atas mimbar, maka itulah yang asal sebagaimana
Jumaat di zaman baginda Nabi s.a.w (Mukhtasar at-Tohawi, hlm 24)
Namun demikian, ulama
mazhab Hanafi kelihatan mempunyai berbilang pandangan dengan majoriti di antara
mereka berijtihad azan kedua adalah ‘pasti haram', cuma terdapat sebahagian besar
mereka yang juga berpendapat pengharaman bermula sejak dari azan pertama (azan
masuk waktu) lagi atau selepas tergelincirnya matahari pada hari tersebut.[3] Ini bermakna, mazhab Hanafi lebih tegas dalam hal ini dan disepakati oleh
keempat-empat mazhab, berjual beli selepas azan kedua adalah haram.
Imam Ibn Kathir Al-Syafie
menyebut :
اتفق العلماء على تحريم البيع بعد النداء
الثاني
Ertinya : Para
ulama bersepakat berkenaan pengharaman jualbeli selepas azan kedua ( Tafsir Ibn
Kathir, 4/367)
BERDOSA SAHAJA ATAU
AQAD JUGA BATAL?
Walaupun berjualbeli
di waktu itu adalah haram yang beerti berdosa atas si penjual dan pembeli,
namun adakah aqad jual beli mereka terbatal?
Jika kesalahan ini
dilakukan, dosa yang ditanggung adalah satu peringkat, manakala sah batal transaksi
itu pula adalah satu peringkat yang lain. Jika aqad tidak sah, bererti pemilikan
harga yang diperolehi oleh penjual adalah batal dan demikian juga pemilikan pembeli
ke atas barangan beliannya. Jika itu berlaku, bererti kedua-dua mereka
menggunakan harta milik orang lain dan berterusan keadaan itu sehingga akhir hayat
mereka dalam keadaan penuh syubhat dan bermasalah.
Dalam hal ini, para
ulama tidak sepakat dalam menanggapi kesahihan atau terbatalnya aqad. Para
Ulama terbahagi kepada dua kumpulan :
Pertama : Aqad adalah sah dan hanya dosa ditanggung oleh penjual dan pembeli. Ia adalah
ijtihad dari mazhab Hanafi, Syafie dan sebahagian Maliki.
Kedua : Aqad batal dan berdosa ; Ia adalah pendapat mazhab Hanbali dan majoriti Maliki.
Namun, berdasarkan
penelitian, pendapat pertama adalah lebih kukuh, khususnya adalah rukun dan
syarat jual beli telah semuanya dipenuhi, kecuali ia melanggar waktu jualan
yang diharamkan sahaja, atas kesalahn itu dosa sahaja ditanggung tanpa
pembatalan aqad.
Apapun, amat perlu
umat Islam dimana sahaja untuk lebih berhati-hati dalam hal
ini. Justeru, amat digalakkan agar dapat dinasihatkan kepada para peniaga dan
semua warga Muslim yang wajib ke atas solat Jumaat untuk menghindari kesalahan
ini. Kita bimbang,akibat kejahilan, ramai yang melanggarnya secara berulang
kali.
KESIMPULAN
Kesimpulan, jual beli
itu akan jatuh haram hanya apabila:
a) Dilakukan selepas
azan kedua sewaktu imam berada di atas mimbar.
b) Dilakukan oleh
lelaki (sama ada sebagai peniaga atau penjual) yang wajib solat Jumaat.
c) Mengetahui
berkenaan hukum haram ini, dan wajiblah ke atas individu mukallaf untuk
mempelajarinya. Wajib pula untuk menyampaikannya bagi yang mengetahui.
Zaharuddin Abd Rahman
Tiada ulasan:
Catat Ulasan