" tiada paksaan dalam (menganut agama Islam), sesungguhnya telah jelas (perbezaan) antara jalan yang benar dan jalan yang sesat"
-(Al Baqarah: 256)

Jumaat, 15 Jun 2012

Jumaat penghulu segala hari



HARI Jumaat adalah penghulu segala hari atau disebut ‘sayyidul aiyyam’ kerana mempunyai kemuliaan dan keistimewaan di sisi Allah SWT. Bagi umat Islam, hari itu amat berharga dan hari untuk beramal ibadat bagi merebut kelebihan penghulu segala hari.
Berdasarkan penjelasan hadis, hari Jumaat adalah hari pertama kemunculan matahari di dunia, pada hari itu Allah SWT menciptakan Nabi Adam, berlakunya hari Kiamat dan Allah SWT mengizinkan ahli syurga untuk memasuki syurga.
Manakala malaikat pula menamakan hari Jumaat sebagai hari penambahan disebabkan banyaknya pintu rahmat dibuka dan Allah SWT akan melimpahkan kurnia-Nya serta menabur kebaikan-Nya.
Hakikatnya, menjadi tetamu Allah SWT pada penghulu segala hari adalah saat istimewa kerana memberi peluang menilai ketakwaan dan membersihkan dosa.
Kemuncak ibadat bagi tetamu Allah di masjid ialah mendengar dua khutbah dan solat fardu Jumaat. Firman Allah yang bermaksud:
 “Wahai orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu (ke masjid) untuk mengingati Allah dan tinggalkanlah berjual-beli; yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui.” 
(Surah al-Jumaah, ayat 9)
Perjumpaan tetamu Allah setiap minggu di rumah Allah mampu membaiki keimanan, meningkatkan persaudaraan sesama Muslim dan perpaduan ummah. Oleh kerana besar pengaruh perjumpaan tetamu Allah ini, maka sesiapa yang meninggalkan solat Jumaat tiga kali berturut-turut tanpa uzur dibenarkan syarak, mereka dikira sebagai orang yang lalai.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
 “Sesiapa yang meninggalkan Jumaat tiga kali berturut-turut tanpa uzur, Allah akan menutup mata hatinya.”
 (Hadis riwayat al-Nasa’ie)
Menurut Imam al-Ghazali dalam kitab Ihya Ulumudin, pada malam dan siang hari Jumaat ada sesaat yang mulia di mana segala permohonan doa akan dimakbulkan dan saat itu dirahsiakan. Siapa meninggal dunia pada hari Jumaat atau malam Jumaat, Allah mencatat untuknya pahala orang syahid dan menjaganya dari azab kubur.
Hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:
 “Barang siapa yang membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat nescaya Allah menerangi cahaya yang akan menerangi dirinya antara dua Jumaat.”
 (Hadis riwayat al-Bukhari)
Rebutlah peluang untuk membersihkan diri dan bertaubat pada penghulu segala hari. Marilah bersama merenung firman Allah SWT yang bermaksud:
 “Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatkanlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya di dunia dan di akhirat.”
 (Surah al-Jumaat, ayat 10)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan