Dalam Islam, dalil dan alasan atau fakta dan angka yang teragung adalah apa yang ditegaskan oleh Allah dan RasulNya. Sekalipun manusia menolaknya, atau tidak memperdulikannya. Jika kita mengubah prinsip ini dalam mengenali kebenaran seperti menjadikan suara ramai sebagai pengukur utama kebenaran, maka banyaklah kesilapan atau kesalahan, bahkan kesesatan akan dianggap kebenaran.
Dalam sebuah hadis, Nabi s.a.w menceritakan perihal hari kiamat yang ditunjukkan oleh Allah kepada baginda. Baginda menyebut:
“Diperlihatkan kepadaku umat-umat manusia. Maka aku dapati ada nabi yang mempunyai seorang pengikut. Ada pula nabi yang mempunyai dua orang pengikut. Ada pula yang mempunyai beberapa orang pengikut. Ada juga nabi yang tidak mempunyai seorang pengikut pun…”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Pemikiran yang menganggap kebenaran berdasarkan jumlah pengikut ditolak oleh al-Quran dalam banyak tempat. Antaranya Allah menyebut dalam Surah al-An’am. (maksudnya) Dan jika engkau menurut kebanyakan orang yang ada di muka bumi, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah; tiadalah yang mereka turut melainkan sangkaan semata-mata, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta. Sesungguhnya Tuhanmu, Dia lah Yang lebih mengetahui siapa yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah Yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat petunjuk.
Dalam Surah Saba ayat 46 Allah menyebut: Katakanlah:
“Aku hanyalah menasihati kamu dengan satu perkara sahaja, iaitu: hendaklah kamu mengadap Allah (bersungguh-sungguh berusaha mencari kebenaran kerana Allah), sama ada dengan cara berdua, atau seorang diri; kemudian hendaklah kamu berfikirlah (untuk mengetahui salah benarnya) sebenarnya tidak ada pada sahabat kamu ( Nabi Muhammad) sebarang penyakit gila (sebagaimana yang dituduh); dia hanyalah seorang pemberi amaran kepada kamu, sebelum kamu ditimpa azab yang berat (di akhirat)”
Allah menyebut dalam Surah al-Nur ayat 15:
“(maksudnya) ketika kamu menerima berita dusta itu dengan lidah kamu, dan memperkatakan dengan mulut kamu sesuatu yang kamu tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; dan kamu pula menyangka ianya perkara kecil, pada hal di sisi Allah adalah perkara yang besar dosanya”.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan